رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

"Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi- al A'raf ayat 23.

Monday, April 13, 2009

Keikhlasan~

Suasana cukup tegang. Manusia berkeliaran, debu berterbangan, dan mayat berkelimpangan. Itulah suasana peperangan pada kali ini. Seperti biasa, tentera muslimin berjuang dengan bersungguh-sungguh,memburu syahid dan syurga Allah (swt). Di tengah-tengah medan kelihatan seorang yang gagah perkasa memburu lawannya dengan penuh bersemangat. Pedangnya yang bercabang dua itu jelas bersinar dibawah pancaran matahari. Ya tidak syak lagi, beliaulah Saidina Ali bin Abi Talib (ra). Sepupu dan menantu Rasulallah (saw), serta salah seorang daripada sepuluh yang dijamin syurga. Lawannya kini sudah tersungkur. Pedang diangkat untuk tetakan maut. Tiba-tiba lawannya meludah ke arahnya. Lantas dengan serta merta Saidina Ali (ra) memalingkan diri. Meninggalkan lawannya terpinga-pinga.

Pertarungan sudah selesai, setiap pasukan telah kembali ke khemah masing-masing. Namun kelihatan dua orang yang masih belum pulang, sedang rancak berbual. Itulah dia dua orang yang disebut tadi. “Kenapa engkau tidak membunuh aku apabila mendapat peluang, sedangkan sebelum itu engkau beriya sangat nak bunuh aku?” “Keinginanku untuk membunuhmu tidak lain hanya untuk Allah (swt) semata-mata. Namun apabila engkau meludah ke arahku, aku menjadi marah. Dan aku tidak ingin membunuhmu kerana kemarahanku untuk membalas dendam.”

Selesai perbincangan, merekapun beredar. Kedua-duanya menuju kearah perkhemahan tentera muslimin.

Di sini terbukti kehebatan para sahabat dalam menjaga niat mereka. Bayangkan musuh yang sudah boleh dibunuh didepan mata ditinggalkan, hanya untuk menjaga niat mereka. Adakah kita mampu untuk mencontohi mereka? Rasanya kebanyakan kita, apabila berhadapan dengan situasi tersebut akan lebih terdorong untuk membunuh. Para sahabat memahami kepentingan serta nilai niat. Mereka tidak akan melakukan amalan kecuali dengan niat yang ikhlas.

Betapa jauhnya kita dengan mereka. Justeru marilah kita sama-sama memuhasabah diri.

Kepentingan niat

Sesuatu amalan, untuk diterima, mestilah mematuhi dua syarat ;

1. Diniatkan Ikhlas hanya kerana Allah (swt) sahaja.
2. Menurut landasan syara’.

Andai tidak sempurna kedua-dua syarat ini, maka sesuatu amalan itu tidak diterima.

Solat, zakat, sadaqah, jihad, menuntut ilmu, riadhah, bayangkan semua amalan ini (bahkan yang lain juga), akan menjadi debu yang tiada nilai disisi Allah kelak.

Secebis dari Al Qur’an dan As Sunnah
Dalam sebuah hadith, Rasulullah (saw) menceritakan bahawa terdapat tiga golongan yang paling awal masuk neraka.

Mereka adalah:
1. Seorang yang diberi harta oleh Allah (swt) dan dia menginfakkan harta tersebut.
2. Seorang yang diberi ilmu oleh Allah (swt) dan kemudian dia mengajar ilmu tersebut.
3. Seorang yang keluar berjihad dijalan Allah (swt) dan akhirnya dia syahid.

Bayangkan tiga golongan yang mulia ini…

Orang yang bersedekah

… yang mendapat ganjaran berlipat kali ganda.

Orang yang berilmu …

… diangkat darajat dan diiktiraf sebagai golongan yang takutkan tuhan.

Dan orang yang berjihad…

Disebut di dalam hadis bahawa mereka mendapat enam kelebihan… Salah satunya diampunkan segala dosa mereka ketikamana mengalirnya titisan darah yang pertama dari tubuh mereka.
…mengorbankan diri dan dunianya, untuk agama Allah.

… menjadi penghuni neraka. Bahkan menjadi golongan yang pertama untuk dicampakkan kedalamnya. Masya Allah!!
Sebabnya? Kerana mereka melakukan amalan-amalan tersebut bukan kerana Allah (swt). Mereka beramal supaya kelak mereka akan diperingati dan nama mereka disebut-sebut. Dengan erti kata lain, mereka tak IKHLAS.

Ciri-ciri keikhlasan

Adakah aku seorang yang ikhlas? Adakah aku telah mencapai ciri-ciri di berikut?

1. Menyembunyikan amal
Janganlah seseorang itu mudah menceritakan amalannya kepada orang lain. Yakinkah mereka bahawa mereka akan terus dengan amalan mereka itu? Tidakkah mereka sedar bahawa istiqomah mereka dalam amalan tersebut, hanyalah anugerah Allah (swt) dan mampu ditarik balik bila-bila masa sahaja.
Namun, perlu dijelaskan disini bahawa meninggalkan satu amalan kerana takutkan riya’ adalah satu bentuk riya’. Oleh itu, lakukanlah amalan untuk Allah (swt) semata-mata dan jangan biarkan pandangan manusia menggugat niat anda.

2. Lebih suka melakukan kerja di belakang tabir (iaitu yang tidak menonjolkan diri)
Tetapi ini tidak menghalang mereka untuk beramal apabila diminta untuk kehadapan.

3. Melazimi doa
Rasulallah (saw) telah mengajarkan kita supaya melazimi doa-doa, agar kita sentiasa meletakkan Allah dihadapan semua amalan kita. Apabila dipuji, Saidini Ali Abi Talib (ra) akan membaca doa berikut:

“Ya Allah, ampunkanlah aku pada perkara yang tidak mereka ketahui, janganlah kata-kata mereka itu menjadi malapetaka bagiku, dan jadikanlah diriku ini lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan.”
4. Sentiasa istighfar bila datangnya lintasan hati yang boleh menggugat niat asalnya

5. Gembira denga penambahan anggota baru ke dalam saff jemaah

Sekiranya kedatangan ahli baru menyebabkan seseorang itu terasa kedudukannya dalam jemaah tergugat, maka dia harus menilai kembali niatnya dalam menyertai dakawah yang suci ini.

6. Akan berterusan dalam melakukan amalannya dan thabat (tetap) di atas jalan dakwah ini, meskipun jauh perjalanannya, dan berat tanggungjawabnya.

"Apa yang dilakukan kerana Allah, akan berkekalan dan berterusan, manakala apa yang dilakukan kerana selain Allah, akan terputus dan bercerai-berai."
Cebisan dari sejarah

Satu hari, satu rombongan manusia yang mengiringi jenazah telah lalu dihadapan Umar bin Abdul Aziz dan rakannya. Melihat peristiwa itu, rakannya, telah mengajak Umar bin Abdul Aziz supaya mereka sama-sama mengiringi jenazah tersebut. Umar Abdul Aziz setuju, namun sebelum bertolak, beliau diam sebentar, dan kemudian baru beliau bertolak.

Selesai mengiringi jenazah, rakannya telah menanyakan beliau tentang sebab beliau diam sebentar sebelum mengiringi jenazah tersebut. Umar Abdul Aziz menjawab bahawa beliau telah mengambil sedikit masa untuk membetulkan niatnya. Beliau tidak mahu amalannya tadi dilakukan kerana ajakan rakannya, sebaliknya mahu memastikan bahawa amalan itu untuk Allah (swt) semata.

Alangkah besarnya nilai niat
Persoalan niat adalah antara kita dengan Allah (swt),

…syaitan telah bersumpah untuk menyesatkan manusia. Namun mereka sendiri mengaku bahawa mereka tidak mampu menggugat orang-orang yang ikhlas niatnya.
…malaikat ditugaskan untuk menulis amalan kita. Namun mereka tidak tahu samada amalan tersebut ikhlas atau tidak.
Kerana niat satu amalan kecil menjadi besar, dan sebaliknya.

“Boleh jadi sesuatu amalan besar itu menjadi kecil (nilainya) hanya kerana niat, dan boleh jadi juga, suatu amalan yang kecilnya itu menjadi besar (nilainya) juga kerana niat.”

Janganlah kita menjadi golongan yang terpedaya.

“Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya.”

Bayangkan semua amalan yang dianggap saham kita di akhirat kelak, sebenarnya sia-sia. Maka jadilah kita golongan yang tertipu dengan kehidupan kita di dunia ini.

“Ya Allah, tetapkan keikhlasan kami dalam beramal dan janganlah engkau golongkan kami dikalangan mereka yang tertipu dengan amalan-amalan kami.”

Tidakkah sudah tiba masanya untuk kita memelihara niat kita?

2 comments:

  1. Assalamualaikum Tikah...

    Lama tidak menjenguk ke sini, harap sihat selalu, InsyaAllah~

    Yer, mari kita sama-sama membetulkan niat, mudah-mudahan apa pun niat kita (yang baik-baik sahaja) diterima olehNya, InsyaAllah...

    ReplyDelete
  2. niat kerana allah..
    jgn kerana nak menunjukkan kehebatan.... diri sendiri...:)

    best artikel ni...

    bijak, bijak... semoga berjaya di dunia dan akhirat...

    doa abang mu mengiringi mu... insyaallah... kalau diizin kan allah.. amin.

    u are the best..:)

    ReplyDelete

^___^