رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

"Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi- al A'raf ayat 23.

Saturday, May 28, 2011

Amalan Istighfar Sebelum Tidur

Sebagai hamba Allah yang banyak dosa dan kesalahan kepada Allah s.w.t dan sesama manusia, Islam menganjurkan umatnya supaya banyak beristighfar dan bertaubat pada setiap masa dan ketika. Itulah di antara kewajipan setiap muslim dan muslimah yang sama sekali tidak boleh ditangguh dan dilengahkan.

Sesungguhnya, rahmat dan keampunan Allah itu amat luas sekali. Maka, pintalah kemaafan Allah yang maha menerima taubat hamba-hamba-Nya. Sekali-kali Allah tidak akan mengecewakan hamba-Nya yang benar-benar ingin 'kembali' kepada-Nya. Justeru, sebanyak mana pun dosa seseorang, janganlah sampai berputus asa daripada rahmat dan keampunan Allah s.w.t.

Dan di antara sunnah yang Nabi s.a.w telah tinggalkan buat kita ialah beristighfar dan bertaubat sebelum tidur.

Daripada Abu Said al-Khudri r.a., daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda:

"Barangsiapa yang mengucapkan istighfar tatkala ia mahu tidur, maka diampunilah dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan, walaupun sebanyak bilangan dedaun di pokok, walau sebanyak pepasir di pantai dan walau sebanyak mana bilangan hari di dunia."

(Riwayat Imam al-Tirmizi)


Pesanan Nabi s.a.w ini hendaklah kita renung dalam-dalam. kenapa kita sangat dianjurkan membaca istighfar walaupun sebelum tidur?

Sesungguhnya, istighfar sebelum tidur itu sangat wajar dan penting sekali. Bukankah tidur itu 'saudara' kepada kematian? Boleh jadi tidur kita itu akan menjadi tidur yang terakhir. Tiada jaminan bahawa seseorang boleh hidup lagi pada esok hari.



******

Terdapat suatu kisah di zaman Rasulullah SAW.

Ketika Rasulullah sedang berbincang-bincang dengan para sahabat, tiba-tiba Rasulullah berkata,

Wahai Sahabat, sebentar lagi akan datang ke tengah-tengah kalian seseorang yang dirindukan oleh syurga, yang diimpikan oleh syurga atau orang itu diutamakan akan masuk syurga.”

Tak lama kemudian, ternyata datanglah seorang pakcik tua, yang pakaiannya biasa-biasa saja, tidak ada yang istimewa dalam penampilannya, baik dari susuk tubuhnya, tutur katanya mahupun penampilannya.

Maka para sahabat pun hairan, kerana merasakan tidak mungkin pakcik tua tadi yang dimaksudkan oleh Rasulullah yang akan jadi ahli syurga, kerana penampilannya atau perwatakannya hanya biasa-biasa, sama halnya dengan para sahabat-sahabat yang lain.

Kemudian pada hari berikutnya, ketika Rasulullah dan para sahabat sedang berbincang-bincang, tiba-tiba Rasulullah mengatakan bahawa sebentar lagi akan datang seorang ahli syurga, seseorang yang dirindukan oleh syurga. Dan tak lama kemudian datanglah seorang pak cik tua yang juga datang pada hari sebelumnya ketika Rasulullah juga mengatakan hal yang sama.

Menyaksikan hal yang demikian, maka para sahabat pun memutuskan untuk menyiasat apakah keistimewaan pak cik tua ini, sehingga ia diutamakan untuk masuk syurga. Selama beberapa hari, para sahabat memerhatikan pak cik itu namun mereka tidak menemui sesuatu yang istimewa dari amal atau ibadah yang dilakukan olehnya.

Disebabkan perasaan ingin tahu yang membuak-buak, para sahabat pun memutuskan untuk tinggal bersama dengan pak cik tua tersebut. Hari pertama sahabat tinggal serumah dengan pak cik tua itu, tidak membuahkan hasil, ketika tengah malam tiba, sahabat yang mengharapkan pak cik tua tadi bangun untuk sholat tahajjud dimana hampir semua orang terlelap tidur, ternyata pak cik itu juga tidak sholat tahajjud dan dia juga terlelap tidur seperti halnya kebanyakan orang. Dan ketika subuh hampir tiba, sahabat yang berharap pak cik tadi akan bangun dan melaksanakan solat sunat Fajar, ternyata pak cik itu juga tidak bangun untuk solat sunat Fajar, yang dia kerjakan hanyalah amalan-amalan yang wajib saja, iaitu solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak.

Akhirnya para sahabat mengajak pak cik tua tadi untuk berbicara bagi menemukan jawapan yang mereka kehendaki.

Para sahabat berkata:

Wahai pak cik, kata Rasulullah engkau adalah seorang yang dirindukan oleh syurga, yang akan diutamakan untuk masuk syurga padahal amalan ibadah engkau biasa-biasa saja dan sama dengan amal ibadah sahabat kebanyakan, tapi mengapa engkau yang dikatakan ahli syurga oleh Rasulullah, sementara banyak sahabat yang dekat dengan Rasulullah, yang juga punya amalan ibadah seperti engkau

Mendegar pertanyaan sahabat tadi, pak cik tua tersebut berkata:

Memang amal ibadah saya biasa-biasa saja seperti amal ibadah yang dilakukan oleh kebanyakan orang, tapi ada satu hal yang istiqamah saya lakukan sebelum saya tidur

Hal apa yang engkau lakukan sebelum tidur wahai pak cik?” tanya para sahabat

Pak cik tua tadi menjawab,

Sebelum tidur saya selalu memikirkan apa saja dosa-dosa yang pernah saya lakukan sebelum ini, selama saya hidup ini, dan apa-apa saja dosa-dosa atau kesalahan yang saya lakukan selama hari itu, sehingga saya selalu istighfar sebelum tidur agar Allah mengampuni dosa-dosa saya, agar saya tidak tergolong bersama orang yang menzalimi diri sendiri. Saya selalu dan istiqamah beristigfar setiap malam sebelum tidur agar dosa-dosa saya pada hari itu diampuni oleh Allah SWT.


Lihatlah, betapa besarnya ganjaran yang diberikan kepada mereka yang beristighfar.

Mudah-mudahan, amalan istighfar taubat yang berterusan itu (termasuk sebelum tidur) menjadi asbab (penyebab) Allah s.w.t berbelas kasihan dan sudi mengampunkan segala dosa kita.

Akhir kalam, perbanyakkanlah istighfar setiap masa. Semoga hidup kita sentiasa bahagia dan mendapat rahmat serta hidayah daripada Allah s.w.t. wallahualam…

No comments:

Post a Comment

^___^