رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

"Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi- al A'raf ayat 23.

Sunday, April 10, 2011

Takdir' itu tetap takdir Allah

Bismillah...


Tatkala iman sedang bergolak dengan mehnah dan cabaran, di saat yang sama juga Allah memberikan nikmat dan kebahagiaan yang tidak berbelah bagi kepada jiwa yang gundah gulana. Maha suci Allah yang sentiasa memahami kehendak hambaNya.

Kebahagiaan itu sentiasa hadir bersama keperitan. Jika kita sentiasa bersangka baik dengan takdir Allah, semakin kita akur bahawa apa yang Dia sediakan kepada kita adalah sebaik-baik ujian dan sebaik-baik dugaan.

Allah berfirman yang bermaksud:

"Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah." (Surah al-Hadid: ayat 22)


Baik atau buruk yang menimpa kita, ia adalah takdir. Berjaya atau gagal selepas berusaha, itu merupakan takdir Allah untuk kita. Suka atau tidak, ia adalah takdir yang ditetapkan untuk kita. Walau bagaimana kita cuba menentang dan menghapuskannya, takdir adalah sesuatu yang sangat kompleks untuk dihuraikan. Rukun iman adalah akar kepada penghayatan sebenar kita mengenai kuasa sebenar takdir.
Tidak dinafikan, ada yang mengakui sesetengah takdir boleh berubah, namun itu juga atas takdir Allah. Dengan izinNya kita mampu mengubah takdir kita. Itulah takdir yang sebenar-benar takdir. Kita adalah hamba yang perlu dengar, fahami, taati, pelajari dan amalkan segala takdir ini. Sesungguhnya tiada jalan pintas untuk mengelak takdir Allah. jadilah manusia yang bersyukur dengan apa yang telah ditakdirkan. . .



Jika benar kita benar-benar rasa berat dan gelisah dengan takdir yang sedang berlaku, maka nabi telah mengajar kita untuk melafazkan...

قَدَرُ اللهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ
yang bermaksud;
"Allah telah menakdirkan sesuatu yang dikehendaki dan dilakukan." (Hadis riwayat Muslim 4/2052)




Jika ia merupakan musibah bagi diri kita, maka ucapkanlah. . .


إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ، اَللَّهُمَّ أُجُرْنِيْ فِيْ مُصِيْبَتِيْ وَأَخْلِفْ لِيْ خَيْرًا مِنْهَا
yang bermaksud;

“Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNya kami akan kembali (di hari Kiamat). Ya Allah! Berilah pahala kepadaku dan gantilah untukku dengan yang lebih baik (dari musibahku).”
(Hadis riwayat Muslim 2/632)


Carilah kemanisan iman sewaktu kita menempuh sesuatu yang kita tidak sukai. Ingatlah pesanan Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah, ayat 216 yang bermaksud:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."


Belajarlah mengenali perkataan redha. belajarlah mengenali perkataan sabar. Tiada adunan yang lebih enak daripada kedua-dua sifat ini dalam mengharungi resipi takdir yang telah Allah tetapkan untuk kita.






"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya." (Surah al-Baqarah:286)

Allahu'alam.

No comments:

Post a Comment

^___^