رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

"Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi- al A'raf ayat 23.

Friday, April 30, 2010

Kisah Perlawanan Antara Seorang Lelaki Dan Iblis

Hidupnya sepasang suami isteri dengan penuh kebahagiaan. Meskipun hidup melarat, mereka taat akan perintah Tuhan. Segala yang dilarang oleh Allah dihindari, dan ibadah mereka dijaga dengan tekun sekali. Si suami adalah seorang yang alim dan sangat bertaqwa kepada Allah SWT. Beberapa lama kemudian isterinya mengeluh terhadap kemiskinan yang tiada habis-habisnya itu. Ia memaksa suaminya agar mencari jalan keluar. Ia juga membayangkan alangkah senangnya hidup jika segala-galanya serba cukup.

Pada suatu hari, lelaki yang alim itu berangkat ke ibu kota kerana mahu mencari pekerjaan disana. Di tengah perjalanan, lelaki itu melihat sebatang pohon besar yang dikerumuni orang ramai. Dia ingin mengetahui apakah yang terdapat disebalik pohon itu yang menyebabkan ramainya orang mengerumuninya. Ternyata orang ramai sedang memuja-muja pohon besar itu yang kononnya adalah keramat dan sakti. Banyak juga kaum wanita dan pedagang-pedagang yang meminta-minta kepada pohon itu agar suami mereka setia kepada mereka atau dagangnya laris dijual.

"Ini adalah perbuatan yang syirik", fikir lelaki yang alim tadi.

"Ini harus dibanteras habis, masyarakat tidak boleh dibiarkan menyembah serta meminta selain daripada Allah".

Maka pulanglah dia terburu-terburu. Isterinya hairan, mengapa secepat itu suaminya kembali. Lebih hairan lagi isterinya mendapati suaminya mengambil sebilah kapak yang diasah begitu tajam. Lantas lelaki alim tadi bergegas keluar, isterinya bertanya kepada suaminya itu tetapi sepatah perkataan pun tidak dijawab. Segera dinaiki keldainya dan dipacu cepat-cepat ke pohon besar itu. Sebelum sampainya di tempat pohon itu berdiri, tiba-tiba melompat sesusuk tubuh yang tinggi dan besar lagi hitam. Dia adalah Iblis yang menyerupai sebagai seorang manusia.

"Hai, mahu ke mana kamu?", tanya si Iblis.

Orang alim tersebut menjawab : "Saya mahu menuju ke pohon yang disembah-sembah orang ramai itu, saya sudah berjanji kepada Allah SWT bahawasanya akan saya menebang roboh pohon yang syirik itu".

"Kamu tidak ada apa-apa hubungan dengan pohon itu. Yang penting, kamu tidak mengikut jejak seperti mereka. Sudah, lebih baik kamu pulang sahaja".

"Tidak boleh, kemungkaran mesti dibanteras!".

"Berhenti, jangan teruskannya!".

"Akan saya teruskan".

Kerana masing-masing tegas pada pendirian, akhirnya terjadilah perkelahian antara orang alim tadi dengan Iblis. Jika melihat perbezaan badannya, seharusnya orang alim itu dengan mudah boleh dibinasakan. Namun ternyata Iblis menyerah kalah serta meminta ampun kepadanya.

Kemudian ia berdiri dengan menahan kesakitan lalu berkata : "Tuan, maafkanlah kekasaran saya. Saya tak akan berani lagi mengganggu tuan. Sekarang pulanglah, saya berjanji bahawasanya setiap pagi apabila tuan selesai menunaikan solat Subuh, di bawah tikar sembahyang tuan akan saya sediakan wang emas empat dinar. Pulang sahaja dahulu, jangan teruskan niat tuan itu".

Mendengar janji Iblis dengan wang emas empat dinar itu, lunturlah kekerasan tekad si alim tadi. Ia teringatkan akan isterinya yang hidup berkecukupan. Ia juga teringat akan saban hari rungutan isterinya. Setiap pagi empat dinar, dalam sebulan sahaja dia sudah boleh menjadi orang yang kaya. Mengingatkan desakan-desakan isterinya itu maka pulanglah dia. Luntur kembali niatnya bagi membanteras kemungkaran.

Demikianlah, semenjak pagi itu isterinya tidak pernah marah lagi. Hari pertama, ketika si alim selesai solat Subuh, dibuka tikar sembahyangnya. Di situ juga tergolek empat benda berkilat yang seakan duit empat dinar. Dia meloncat riang, isterinya merasa begitu gembira. Begitu juga hari yang keseterusnya hinggalah hari yang ketiga. Pada hari yang keempat, mereka mulai merasa kecewa kerana tiada apa-apa yang didapati di bawah tikar sembahyang mereka melainkan tikar pandan yang rapuh. Isterinya mulai marah kerana wang yang didapati oleh mereka sebelum ini sudah dihabiskan sama sekali.

Si alim dengan lesu menjawab : "Jangan khuatir, esok barangkali kita akan dapat lapan dinar sekaligus".

Keesokan harinya, suami isteri itu merasa cemas dan bangun pada awal-awal pagi lagi. Selesai menunaikan kewajipan mereka, suaminya pun membuka tikar sejadah itu dengan perasaan yang risau malah mendapati tiada satu sen pun yang mereka dapati.

"Kurang ajar, penipu. Ambillah kapak, tebanglah pohon itu", teriak si isteri.

"Ya, memang dia telah menipuku. Akan aku habiskan pohon itu semuanya hingga ke ranting dan daun-daunnya", sahut si alim itu.

Maka segera ia mengeluarkan keldainya. Sambil membawa kapak yang tajam dia memacu keldainya menuju ke arah pohon yang syirik itu. Di tengah jalan, Iblis yang berbadan tinggi lagi besar sudah menghalang.

Katanya menyorot tajam : "Mahu ke mana kamu?", herdiknya menggegar.

"Mahu menebang pohon", jawab si alim dengan gagah berani.

"Berhenti, jangan lanjutkan".

"Bagaimanapun juga tidak boleh kamu menghalang, sebelum pohon itu tumbang".

Maka terjadilah kembali perkelahian yang hebat. Tetapi kali ini ternyata bukan Iblis yang kalah, tapi si alim yang terkulai.

Dalam kesakitan, si alim tadi bertanya dengan penuh hairan : "Dengan kekuatan apakah engkau dapat mengalahkan aku, padahal dulu engkau tidak berdaya sama sekali?".

Iblis itu dengan angkuh menjawab : "Tentu sahaja engkau dahulu boleh menang, kerana waktu itu engkaukeluar rumah bagi menebang pohon kerana Allah SWT. Andaikata ku kumpulkan seluruh belantaraku menyerangmu sekalipun, aku tidak akan mampu mengalahkanmu. Sekarang kamu keluar dari rumah hanya kerana tidak ada wang di bawah tikar sejadahmu. Maka biarpun kau keluarkan seluruh kebolehanmu, tidak mungkin kamu mampu menjatuhkan aku. Lebih baik kamu pulang sahaja, jika tidak nanti kupatah-patahkan batang lehermu".

Mendengar penjelasan Iblis itu si alim tadi termangu-mangu. Ia merasa bersalah, dan niatnya memang sudah tidak ikhlas kerana Allah SWT lagi. Dengan terhuyung-hayang ia pulang ke rumah, dibatalkan semula niatnya bagi menebang pohon itu. Ia sedar bahawa perjuangannya yang sekarang adalah tanpa keikhlasan kepada Allah SWT, dan ia juga sedar perjuangan yang semacam itu tidak akan membuahkan apa-apa hasilpun melainkan kesiaan yang berlanjutan sebab tujuannya adalah kerana harta benda, mengatasi keutamaan Allah SWT dan Agama. Bukankah bererti ia menyalahgunakan Agama untuk kepentingan hawa nafsu semata-mata?.

"Barangsiapa di antaramu melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah ia berusaha memperbaikinya dengan tangan (kekuasaan), jika tidak mampu hendaklah berusaha memperbaikinya dengan lidah (nasihat). Jika tidak mampu lagi, hendaklah mengingkari dengan hatinya (tinggalkan). Itulah selemah-lemah iman".(Hadith Riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment

^___^