رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

"Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi- al A'raf ayat 23.

Monday, June 21, 2010

Yang Remeh Bukan Temeh: Mulus Berbahasa


“Tak baik langkah duit. Berdosa!” pesan opah.

Anak cucu tersengih.

Tunduk mengutip duit syiling yang bertaburan di lantai.

Bukan banyak pun, kalau dicampur-campur mungkin jauh daripada cukup untuk membeli sebatang ais krim berjenama popular di kedai.

Anak cucu yang bijak laksana itu mula bertanya sesama sendiri, kenapa pula berdosa melangkah duit? Bukannya ada apa-apa firman pada kepingan tembaga dan besi itu. Malah nilainya juga serendah satu sen. Mereka ada jawapan, bahawa opah memang sengaja begitu. Banyak benar pesannya. Dalam pesan yang sederet itu, banyak pula yang remeh temeh.

Antara anak cucu itu adalah saya.

Anak kecil yang tidak mengerti mengapa opah begitu banyak pantang larangnya.

Semakin saya pandai, semakin remeh nasihat opah saya perhatikan.

Segalanya mula menunjukkan makna, hanya apabila saya berhenti menilai nasihat opah dengan akal. Opah memberi nasihat bukan dari akal, tetapi dari hati. Hanya dengan merenung menerusi mata hati, nasihat opah menampakkan bijaknya.

PENGAJARAN DI ISTANBUL

Cuti musim panas itu, saya bertandang ke rumah Mahmud yang terletak di Draman, Istanbul.

Malam itu panas.

Sebelum kami melelapkan mata, saya meminta segelas air masak untuk membasahkan tekak. Mahmud mengambil cawan yang tersimpan di rak pinggan, membasuhnya terlebih dahulu sebelum diisi dengan air yang diminta.

Hairan…

Mengapa pula cawan yang sudah bersih itu mahu dibasuh dahulu sebelum dituang air?

Soalan itu timbul semula apabila saya berbual dengan Pakcik Mehmet di Bolvadin, Afyon.

“Mengapa nama Pakcik adalah Mehmet, sedangkan nama Rasulullah itu Muhammad? Kenapa yang itu Muhammad dan yang ini Mehmet? Maknanya sama, sebutannya berbeza!” saya mencari jawapan.

“Oh, tiada apa-apa rahsia. Biarlah yang mulia itu sahaja namanya Muhammad. Untuk kita-kita, sebut sahaja Mehmet. Supaya kalau ada di kalangan Mehmet ini yang mencuri telur ayam, maka yang disebut nanti ialah Mehmet si pencuri telur ayam. Bukan Muhammad. Nama yang baik itu terselamat daripada dinisbahkan kepada perbuatan buruk mencuri telur ayam!” jelas Pakcik Mehmet.

Oh, begitu!

Baru saya faham, orang Turki itu orang yang berhalus. Mengambil kira benda-benda yang sering dianggap kecil. Apabila mereka sudah sebati dengan sikap sedemikian, maka kebersihannya bukan setakat cawan yang sudah dibasuh perlu ditos dengan air, malah setiap inci rumah dijaga kebersihannya. Tong sampah juga harus bersih. Tong sampah bukan sampah, maka tong mesti dijaga kebersihannya.

Dengan pandangan yang teliti pada yang kecil, kesannya nampak pada seni masjid, seni ukiran, seni pakaian malah seni bunyi, seni tari dan seni lagu. Semuanya menjadi halus dan tinggi. Keindahan tidak meremeh temehkan benda yang kecil, tumpah pada manusia, dan alam sekitar yang dihuninya. Lebih teliti, lebih indah seninya.

PENGAJARAN DIBAWA PULANG

Teringat semula kepada nasihat opah.

Opah yang jahitan bajunya kemas. Tekat bantalnya halus. Bahasa bualnya lunak. Malah lenggok tarian zamannya lembut, dan lagu juga indah di telinga.

Halus…

Di dapur opah, lauk pula cukup rempah-pawahnya. Bawang betul berhiris. Ikan molek disiang. Serai halus dititik, cili cantik berpotong.

Saya baru mampu melihat, bahawa opah itu orangnya berkira. Mengira yang kecil-kecil.

Langkah duit dosanya bukan pada melangkah itu. Salahnya ialah pada meremehkan benda kecil.

Segera saya teringat, ketika Nabi Yusuf memberikan saranan bahawa tugas paling cocok buat dirinya adalah sebagai Bendahara negara Mesir, beliau berkata, “jadikanlah aku pemegang harta negara. Sesungguhnya aku ini seorang yang teliti lagi berilmu” [Q 12: 55]

Kelayakan bukan hanya pada berilmunya seseorang itu menguruskan kewangan, malah pada sikap telitinya pada apa yang dihitung sebagai amanah.

Tatkala duit satu sen atau sepuluh sen tidak dibiarkan bersepah di belakang kerusi atau bawah almari, itulah cermin kepada sikap telitinya seseorang dalam kehidupan. Orang yang lebih jelas kelayakan dirinya, memegang amanah dengan integriti.

Itu jugalah semangat yang diajar dalam berwudhu’. “Jangan membazir air, walaupun kamu di sungai,” pesan Nabi Muhammad. Berjimat bukan soal kekurangan bekal. Tetapi latihan membentuk sikap. Peka dengan keperluan, dan mengguna pakai seadanya, biar pun pada sekecil soal wudhu’ di tebing sungai.

KECIL-KECIL YANG BESAR

“Tolong-tolong!” jerit penduduk kampung.

Mereka gempar melihat kelibat harimau melintas desa.

Besarnya harimau, dengan taring yang mencarik tubuh, tentu sahaja terbit rasa gerun di empat penjuru kampung. Semua takut kehilangan nyawa, dek harimau yang gagah perkasa itu.

Tetapi berapa sangatlah dalam setahun, manusia mati dibaham harimau? Di sebuah negara yang masih kaya dengan hutan belantara seperti Malaysia, terhitungkah jari bilangan mangsa keganasan harimau? Ada lima puluh? Usahkan lima puluh, mahu dicari lima pun payah!

Jarang benar manusia mati dibaham harimau.

Tetapi bagaimana dengan nyamuk?

Berapa ramaikah manusia yang mati kerana menjadi mangsa gigitan nyamuk di negara kita?

Sehingga ke minggu ke-12 tahun 2010, negara mencatatkan jumlah kes demam denggi sehingga 12,157 dengan 43 kematian! Jumlah itu sangat besar. Lebih membimbangkan, kes demam denggi ini tertumpu di kawasan pembangunan bersama kepadatan penduduk yang tinggi. Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor adalah di antara negeri yang mencatatkan kes demam denggi tertinggi.

Ketika kegerunan kita masih berlegar pada haiwan sebesar dan seganas harimau, akhirnya kita tumpas dengan seekor nyamuk!

Yang kecil. Yang dilihat remeh. Tetapi tidak temeh.

Wabak demam denggi itu adalah peringatan untuk kita semua. Amaran bahawa sikap meremehkan perkara kecil, boleh menjadi besar. Apalah sangat usaha menerbalikkan bekas air yang bertakung di depan rumah, atau membersihkan pinggan melapik pasu bunga. Terlalu remeh, jika mahu dinisbahkan dengan tanggungjawab-tanggungjawab lain yang lebih besar dalam rutin seharian kita.

Namun akhirnya, sikap itulah yang mengundang musibah.

Jika generasi ibu bapa kita dahulu memberi pesan bahawa sikit-sikit lama jadi bukit, kini dengan sikap meremehkan perkara kecil itu, peribahasa berubah makna. Bukan lagi yang sikit menjadi bukit, tetapi merebakkan wabak dan penyakit.

Sukar benar untuk dunia yang besar ini diselamatkan, selagi manusia lupa kepada perkara yang kecil-kecil dalam hidupnya. Apalah sangat sekeping tisu yang dicampak dari tingkap kereta. Besar sangatkah masalah kalau sebuah mentol menyala tanpa keperluan?

Soalnya bukan saiz tisu atau mentol.

Isunya adalah SIKAP.

Hilangnya kepekaan terhadap persekitaran, meremehkan benda-benda kecil yang disangka tiada kepentingan, segalanya menjadi sumber musibah dan bencana apabila ia digandakan dengan bilangan manusia. Bukan seorang yang membuang sampah begitu, bukan seorang yang membiarkan mentol menyala seperti itu.

Sedikit-sedikit, lama-lama jadi penyakit.

SARANAN

Bercita-cita biar besar.

Tetapi bertindak, mulakan dengan yang kecil.

Tidak guna mengangankan sebuah rumah yang lengkap dengan landskap Jepun atau Bali ketika bajet tidak mengizinkan. Andaikata di poket hanya ada RM5, belilah penyapu dan sapu sampah di halaman. Jika setiap rumah menyapu halaman, nescaya bersihlah satu negara.

Terlalu jauh mengejar impian, untuk mengusahakan sebuah dunia yang aman tanpa konflik dan peperangan. Tetapi mulakanlah dengan langkah yang sebenarnya di lingkungan kemampuan kita.

“Pulanglah ke rumah, kasihilah keluargamu!” itu pesan Mother Theresa suatu ketika dahulu.

Yang besar itu impian.

Yang gah itu harapan.

Yang sederhana itu keseimbangan.

Yang kecil itu permulaan.

Peliharalah yang kecil-kecil itu.

Yang remeh, bukan temeh.

1 comment:

  1. thumb's up ;))
    I agree with this one.
    a lil's too much.yes.

    ReplyDelete

^___^