رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

"Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi- al A'raf ayat 23.

Sunday, June 27, 2010

MENGAPA SUKAR UNTUK MENCINTAINYA?

by : genta rasa

Mengapa begitu sukar mencintai Allah? Ya, benar. Memang sukar mencintai Allah. Walaupun kita tahu bahawa Dialah yang sewajarnya kita cintai. Budi-Nya, kasih-sayang-Nya, nikmat-Nya terlalu banyak untuk dimungkiri. Segala kebaikan Allah yang dilimpahkan-Nya ke atas kita melebihi kebaikan manusia. Sekalipun manusia itulah yang paling baik dengan kita.

Hatta kasih ibu yang sejati itupun hanya ‘sekelumit’ jika hendak dibandingkan dengan kasih Allah yang melangit. Ya, sekali lagi kita bertanya kepada hati kita… kenapa sukar benar mencintai-Nya? Walaupun fikiran kita mengiyakannya, iaitu lojik dan patut kita mencintai Allah. Tetapi hati kita masih berat, masih sukar merasainya.

Mengapa hati sedegil itu? Untuk mengetahui kenapa, mari kita bandingkan hati kita dengan fizikal kita. Dalam keadaan badan sihat, kita boleh makan dengan berselera sekali. Hadapkan ayam goreng, asam pedas, tomyam atau apa sahaja masakan yang enak-enak, tentu mulut kita dapat menikmatinya dengan lazat.

Tetapi apa kata kalau badan kita tiba-tiba jatuh sakit? Demam selsema menimpa. Tekak kita jadi pahit, selera kita jadi sempit. Ketika itu, hidangkanlah makanan selazat manapun, insya-Allah mulut kita akan menolaknya. Yang manis terasa pahit. Segala-galanya bertukar menjadi hambar, kelat dan meloyakan.

Kenapa jadi begitu? Apakah makanan itu yang berubah rasa atau mulut kita yang berubah selera? Tidak, makanan tetap sedap. Tetapi bila badan kita sakit, selera kita akan pahit. Begitulah hati kita apabila tidak mahu mencintai Allah. Bukan kerana cinta Allah itu tidak agung, tidak hebat, tidak indah tetapi hati kita yang sakit.

Hati yang sakit tidak akan dapat menikmati keindahan cinta Allah seperti badan yang sakit tidak dapat menikmati kelazatan makanan. Jika perbandingan ini dapat diterima, maka kita boleh mengukur tahap ‘kesihatan’ hati kita.

Rupa-rupanya dalam kehidupan ini ramai manusia (termasuk kita) yang ‘sakit’ hati. Bila kita tidak dapat merasai cinta Allah, sebaliknya lebih cinta selain Allah, maka itulah tandanya hati kita sedang menderita kesakitan. Malah ‘sakit’ hati ini lebih buruk akibatnya daripada sakit fizikal.

Jika sakit fizikal akan menyebabkan kita menderita di dunia, sakit hati akibat gagal mencintai Allah akan menyebabkan kita menderita di dunia dan menderita di akhirat. Jika sakit fizikal berakhir dengan kematian, tetapi ‘sakit’ hati akibat lebih parah. Kita akan menderita selama-lamanya di akhirat.

Mengapa hati kita sakit?

Hingga dengan itu hati tidak bergetar lagi dengan cinta Allah? Bukankah cinta Allah itu fitrah? Ertinya, cinta Allah itu adalah ‘makanan’ atau ‘penawar’ kepada hati manusia. Sebelum menjawabnya izinkan saya membawa satu analogi. Katalah, ada seorang anak yang sejak kecilnya lagi sudah dipisahkan daripada ibunya yang sejati. Oleh kerana ada masalah yang tidak dapat dielakkan, anak itu dipelihara oleh ibu angkat. Masa berlalu bertahun-tahun. Hinggalah anak itu mencapai usia dua puluhan.

Tiba-tiba, si anak mengetahui rahsia yang dia sebenarnya cuma anak angkat sahaja kepada ‘ibunya’ sekarang. Dia pun mencari ibunya yang sejati. Ibu yang telah mengandungkan dan melahirkannya. Maka di hari pertemuan bersejarah itu (masih ingat program Jejak Kasih?), sianak pun bertemu dengan ibu sejatinya ditemani oleh ibu angkatnya.

Saya ingin bertanya, dan anda boleh menjawabnya… pada ketika itu, siapakah yang lebih dikasihi oleh sianak? Ibu sejati yang telah terpisah sekian lama itukah atau ibu angkatnya yang telah memelihara selama ini?

Anda pasti setuju kalau saya katakan, hati sianak akan lebih mengasihi ibu angkat yang telah memeliharanya selama dua puluh tahun berbanding ibu sejati yang baru dikenalinya pada hari pertemuan itu. Walaupun pada lojik dan dari segi rasionalnya, ibu sejati perlu dikasihi berbanding ibu angkat, tetapi dari segi perasaan sianak tidaklah begitu. Sayang bukan paksaan. Sayang bukan pemikiran. Tetapi ia soal rasa. Ia datang dengan sendirinya. Kenapa sayang dan cinta sianak tak mahu bertandang walaupun dia patut merasa begitu?

Kenal Allah Dari Alam Roh
Maka begitulah halnya dengan hati kita. Sebenarnya, sejak di alam roh lagi kita sudah kenal Allah dan mengakui Dialah Tuhan kita. Firman Allah:
“Bukankah Aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab, ‘Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi.”

Al-A’raf : 172

Di alam roh lagi kita telah mengenal Allah. Bahkan telah mengakuinya sebagai Rob (Tuhan kita). Mengenal Allah ertinya mencintai Allah. Kerana siapa sahaja yang kenal Allah, pasti akan mencintai-Nya. Namun perlu diingat, mengenal dan mengetahui itu berbeza. Mengenal dengan hati, mengetahui dengan akal. Sebenarnya, hati kitalah yang telah mengenal Allah di alam arwah dahulu bukan akal kita. Tegasnya, cinta sejati sejak diri bermula ialah cinta Allah.

Malangnya, ramai manusia dipisahkan daripada cinta sejati itu sebaik sahaja mereka lahir ke dunia. Kita mula dipisahkan daripada cinta Allah seperti seorang anak yang dipisahkan daripada ibu sejatinya. Sejak itu tempat cinta sejati di hati kita telah diambil oleh ‘cinta angkat’. Kita telah terpisah dari Allah. Siapa yang memisahkan kita daripada cinta Allah? Sedih, yang memisahkan manusia daripada cinta Allah kerap-kalinya ialah ibu-bapa mereka sendiri. Ibu-bapa tidak mengenalkannya kepada Allah.

Akibat Benih Cinta Allah Terbiar

Konsep didikan yang bertitik-tolakkan ‘Awaludin makrifatullah’ – awal agama mengenal Allah’ tidak diberikan. Benih cinta Allah yang sudah ada dalam diri terbiar. Tidak dibajai dan diairi. Akibatnya, kita kenal ‘selain Allah’. Maka cinta kita pun beralih arah. Hakikat ini ditegaskan oleh sabda Nabi saw:

“Tiada seorang bayi pun yang lahir melainkan dia dilahirkan di atas fitrah. Lalu kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, atau Majusi atau Nasrani, seperti haiwan itu melahirkan haiwan yang sama secara utuh. Adakah kamu menemukan adanya kecacatan?”

Riwayat Bukhari

Bermula dari situ perpisahan dengan cinta Allah pun bermula. Makin bertambah usia semakin jauh jarak perpisahan itu. Kekadang oleh corak pendidikan yang diterima. Begitu juga media massa yang didengar dan lihat. Apa lagu yang didengarnya? Apa filem yang ditontonnya? Cinta siapa yang lebih kerap dilihat dan didengarinya? Malang sekali, bukan cinta Allah tetapi cinta selain-Nya.

Puluhan tahun si anak dibuai oleh cinta makhluk seperti seorang anak yang dipelihara oleh ibu angkatnya. Hati, pemikiran, perasaan bahkan jiwa telah diserah seluruh dan sepenuhnya kepada ‘cinta angkat’ itu. ‘Cinta angkat’ itulah yang mendodoikannya sejak dia dalam kandungan ibu, di dalam buaian, di rumah, di sekolah, di dalam masyarakat dan di seluruh persekitarannya. Pancaindera kita sepenuhnya berinteraksi dan berkomunikasi dengan cinta itu sahaja. Dan pada ketika itu manusia yakin sepenuhnya bahawa ‘cinta angkat’ itulah cinta sejati kita.

Mencari Cinta Sejati

Ada orang yang bernasib baik, tiba-tiba arus kesedaran melanda. Cahaya ilmu menerpa dengan tiba-tiba. Lalu tersentaklah dia bahawa cinta itu bukan cinta yang sejati. Ada cinta yang lebih hakiki. Itulah cinta Allah. Dia mencari cinta itu, seperti anak angkat yang mencari ibunya yang sejati. Lalu dia menemuinya.

Menerusi pengajian, melalui pembacaan, menerusi lidah para daie, melalui tarbiah para ulama tahulah dia bahawa Allah-lah cinta yang sejati. Namun… semuanya masih di daerah ilmu, bukan di alam rasa. Dia tahu Allah wajib dicintai, tetapi hatinya tidak merasai. Aduh, malangnya… akal tahu, hati tak mahu!

Apa yang perlu dibuat bila hati telah sakit? Tidak ada lain, kita mesti mengubat dan merawatnya. Samalah seperti fizikal yang sakit, ia perlukan ubat dan rawatan. Oleh kerana fizikal kita berasal dari tanah, maka buatnya pun mesti berasal dari tanah. Feram, Natrium, Magnesiam dan lain-lain unsur semuanya dari tanah. Herba juga demikian.

Ubat sakit fizikal yang berasal dari tanah juga berasal dari tanah. Namun hati adalah soal rohani, ia bukan berasal dari tanah. Jadi ubat dan penawarnya bukan dari tanah. Tetapi ubat bagi hati ialah kembali kepada asalnya, yakni kembali dekat kepada Allah.

Hati yang dekat kepada Allah akan tenang dan sihat semula. Ia telah kembali kepada fitrahnya. Itulah ubat hati. Namun jalan ke situ bukan mudah. Ubat sakit fizikal selalunya pahit. Rawatan sakit fizikal juga perit. Tetapi oleh kerana inginkan badan yang sihat kita rela menelannya. Kita rela berpantang. Menahan daripada makan makanan yang berkolestrol, lemak, manis, masin, berminyak walaupun itu semua kesukaan kita. Kita ikut semua nasihat doktor. Berlari, bersenam dan mengawal stresss… kita ikuti, patuhi walaupun berat kerana inginkan sihat.

Pengubat Hati

Maka begitulah jalan untuk menyihatkan hati. Penawarnya pahit. Ubat jarang yang manis. Namun, semua itu perlu ditempuh jua. Apakah ubat hati?

• Hadiri majlis ilmu iaitu ilmu yg memberi menfaat.
Mula-mula lazimilah menghadiri majlis ilmu. Ilmu adalah cahaya hati. Majlis ilmu adalah ‘taman syurga’ di dunia. Kata ulama, siapa yang tidak menghadiri majlis ilmu selama 40 hari (sesetengahnya mengatakan 7 hari) maka hati seseorang akan keras.

Walaupun berat kaki melangkah, gagahilah juga sepertimana pesakit yang terpaksa menelan ubat yang pahit. Terangi hati yang gelap dengan cahaya ilmu. Dengan ilmu kita dapat mengetahui sifat-sifat Allah yang Maha Sempurna. Nama-Nya yang baik dan mulia.

• Amal ilmu, dirikan solat.
Dari sana, susuli langkah seterusnya. Ilmu imam, amal adalah makmumnya. Mulalah amalkan latihan-latihan asas dan teras untuk merawat hati. Ubat hati ialah zikrullah – ingat Allah. Dan cara mengingati Allah yang paling utama ialah mendirikan solat. Solat juga dikatakan berasal dari ‘silah’ (penghubung) antara hamba dengan Tuhan.

Fahami makna bacaan, hayati erti gerakan dan resapkan rasa-rasa daripada segalanya itu ke dalam hati. Walau susah sungguh, tetapi paksalah diri.

Sedangkan bisa boleh jadi biasa apabila dilazimi, apatah lagi ‘penawar’ tentulah lebih mudah kita biasakan apabila dilazimkan. Ingat solat itu penawar. Walaupun sukar kita merasa kemanisannya di peringkat awal, tetapi kemanisannya pasti datang juga jika kita berterusan mengamalkannya.

Ingat selalu kata-kata, mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. No pain, no gain. Sedangkan merebut cinta makhluk pun susah, apalagi mencari cinta Allah. Tentulah lebih susah. Tidak ada jalan mudah, itulah jalannya… jalan mujahadah.

• Berpantang
Seperti sakit fizikal yang perlu pada pantang larangnya, begitu jugalah ‘sakit hati’ ada juga pantang larangnya. Makan ubat tidak boleh diiringi makan ‘racun’. Apalah ertinya kalau kita rajin makan ubat penyakit darah tinggi, jika kita terus makan daging, garam dan lemak secara berlebihan?

Atau pesakit kencing manis yang rajin menyuntik insulin tetapi rajin juga minum teh tarik yang manisnya keterlaluan? Penyakit tidak akan sembuh, jika melanggar pantang. Bahkan, sesetengah pengamal perubatan menegaskan berpantang lebih baik daripada berubat.

Begitulah halnya dengan usaha penyembuhan ‘sakit hati’, ada pantang larang juga. Perlu ‘berpantang’ daripada perkara-perkara yang boleh menyuburkan nafsu. Misalnya, melihat, mendengar atau terlibat secara langsung dengan perkara-perkara yang diharamkan seperti pergaulan bebas, program hiburan yang merangsang nafsu, filem-filem lucah, dan lain-lain suasana yang boleh menyuburkan hawa nafsu. Sebaik-baiknya carilah kawan yang seiya sekata. Bentuk kumpulan kecil yang mempunyai satu fikiran, satu tujuan dan satu rasa – yakni sama-sama ingin mencari cinta Allah.

• Cari perkumpulan yang baik.

Untuk buat baik, perlu ada kumpulan. Untuk buat jahat, perlu ada ‘geng’. Bila ada perkumpulan (dulu dikampus sering dinamakan study group atau usrah), maka tentu ada program. Program yang baik boleh dibentuk sebagai alternatif kepada program yang negatif. Membaca dan mengkaji buku-buku agama, meningkatkan ilmu fardhu Ain, mendengar kuliah tafsir, mendengar nasyid-nasyid atau lagu-lagu yang baik, program riadah, sukan dan rehlah yang Islamik adalah program-program soleh yang boleh diatur oleh perkumpulan itu.

Ini adalah penebat kepada idea-idea nakal dan jahat yang boleh menggoda kita. Kita ada kawan, ada aktiviti dan akhirnya terbentuklah suasana dan persekitaran yang soleh. Masa lapang kita akan terisi. Ingat, musuh orang muda adalah ‘masa lapang’. Masa lapang ini perlu diisi dengan kesibukan belajar dan memperbaiki diri. Dengan adanya program-program ini pantang larang dalam usaha menyembuhkan hati yang sakit dapat dijaga. Ada kawan mengingatkan. Ada program yang menyibukkan. Ada suasana yang mencorakkan.

Inilah sebahagian langkah untuk mengubat ‘sakit hati’ di kalangan para orang muda masakini. Sebelum berpisah renungilah kata Imam Ghazali rhm:
“Pertama telah kupandang makhluk yang banyak ini. Maka aku saksikanlah bahawa, tiap-tiap mereka mempunyai kekasih dan kecintaan tempat hatinya tertambat. Sebahagian daripada kekasih itu hanya mendampingi sampai ke sakit yang membawa maut dan sebahagian lagi hanya sampai ke tepi liang kubur.

Setelah itu kesemuanya pulang dan meninggalkan terbaring seorang diri. Tak seorang jua pun yang turut masuk ke kubur dan menghiburnya di dalamnya. Yang demikian tak kudapati selain amal yang soleh. Sebab itu maka kuambil ia menjadi kekasihku, supaya kelak ia menjadi pelita di dalam kuburku, menghiburkan dan tidak meninggalkan aku seorang diri.”

Oleh itu, takutlah kepada kemurkaan Allah. Carilah keredhaan Allah ketika di dunia lagi. Di akhirat nanti, bukan tempat untuk berbuat beramal. Alam akhirat ialah tempat kita diperlihatkan kebaikan mahupun kejahatan walau sebesar zarah pun.

Ya Allah, bantulah kami untuk ingat pada Mu, syukur pada Mu dan mengelokkan ibadah kami kepada MU! Bantulah mujahadah kami ya Allah…

Monday, June 21, 2010

Yang Remeh Bukan Temeh: Mulus Berbahasa


“Tak baik langkah duit. Berdosa!” pesan opah.

Anak cucu tersengih.

Tunduk mengutip duit syiling yang bertaburan di lantai.

Bukan banyak pun, kalau dicampur-campur mungkin jauh daripada cukup untuk membeli sebatang ais krim berjenama popular di kedai.

Anak cucu yang bijak laksana itu mula bertanya sesama sendiri, kenapa pula berdosa melangkah duit? Bukannya ada apa-apa firman pada kepingan tembaga dan besi itu. Malah nilainya juga serendah satu sen. Mereka ada jawapan, bahawa opah memang sengaja begitu. Banyak benar pesannya. Dalam pesan yang sederet itu, banyak pula yang remeh temeh.

Antara anak cucu itu adalah saya.

Anak kecil yang tidak mengerti mengapa opah begitu banyak pantang larangnya.

Semakin saya pandai, semakin remeh nasihat opah saya perhatikan.

Segalanya mula menunjukkan makna, hanya apabila saya berhenti menilai nasihat opah dengan akal. Opah memberi nasihat bukan dari akal, tetapi dari hati. Hanya dengan merenung menerusi mata hati, nasihat opah menampakkan bijaknya.

PENGAJARAN DI ISTANBUL

Cuti musim panas itu, saya bertandang ke rumah Mahmud yang terletak di Draman, Istanbul.

Malam itu panas.

Sebelum kami melelapkan mata, saya meminta segelas air masak untuk membasahkan tekak. Mahmud mengambil cawan yang tersimpan di rak pinggan, membasuhnya terlebih dahulu sebelum diisi dengan air yang diminta.

Hairan…

Mengapa pula cawan yang sudah bersih itu mahu dibasuh dahulu sebelum dituang air?

Soalan itu timbul semula apabila saya berbual dengan Pakcik Mehmet di Bolvadin, Afyon.

“Mengapa nama Pakcik adalah Mehmet, sedangkan nama Rasulullah itu Muhammad? Kenapa yang itu Muhammad dan yang ini Mehmet? Maknanya sama, sebutannya berbeza!” saya mencari jawapan.

“Oh, tiada apa-apa rahsia. Biarlah yang mulia itu sahaja namanya Muhammad. Untuk kita-kita, sebut sahaja Mehmet. Supaya kalau ada di kalangan Mehmet ini yang mencuri telur ayam, maka yang disebut nanti ialah Mehmet si pencuri telur ayam. Bukan Muhammad. Nama yang baik itu terselamat daripada dinisbahkan kepada perbuatan buruk mencuri telur ayam!” jelas Pakcik Mehmet.

Oh, begitu!

Baru saya faham, orang Turki itu orang yang berhalus. Mengambil kira benda-benda yang sering dianggap kecil. Apabila mereka sudah sebati dengan sikap sedemikian, maka kebersihannya bukan setakat cawan yang sudah dibasuh perlu ditos dengan air, malah setiap inci rumah dijaga kebersihannya. Tong sampah juga harus bersih. Tong sampah bukan sampah, maka tong mesti dijaga kebersihannya.

Dengan pandangan yang teliti pada yang kecil, kesannya nampak pada seni masjid, seni ukiran, seni pakaian malah seni bunyi, seni tari dan seni lagu. Semuanya menjadi halus dan tinggi. Keindahan tidak meremeh temehkan benda yang kecil, tumpah pada manusia, dan alam sekitar yang dihuninya. Lebih teliti, lebih indah seninya.

PENGAJARAN DIBAWA PULANG

Teringat semula kepada nasihat opah.

Opah yang jahitan bajunya kemas. Tekat bantalnya halus. Bahasa bualnya lunak. Malah lenggok tarian zamannya lembut, dan lagu juga indah di telinga.

Halus…

Di dapur opah, lauk pula cukup rempah-pawahnya. Bawang betul berhiris. Ikan molek disiang. Serai halus dititik, cili cantik berpotong.

Saya baru mampu melihat, bahawa opah itu orangnya berkira. Mengira yang kecil-kecil.

Langkah duit dosanya bukan pada melangkah itu. Salahnya ialah pada meremehkan benda kecil.

Segera saya teringat, ketika Nabi Yusuf memberikan saranan bahawa tugas paling cocok buat dirinya adalah sebagai Bendahara negara Mesir, beliau berkata, “jadikanlah aku pemegang harta negara. Sesungguhnya aku ini seorang yang teliti lagi berilmu” [Q 12: 55]

Kelayakan bukan hanya pada berilmunya seseorang itu menguruskan kewangan, malah pada sikap telitinya pada apa yang dihitung sebagai amanah.

Tatkala duit satu sen atau sepuluh sen tidak dibiarkan bersepah di belakang kerusi atau bawah almari, itulah cermin kepada sikap telitinya seseorang dalam kehidupan. Orang yang lebih jelas kelayakan dirinya, memegang amanah dengan integriti.

Itu jugalah semangat yang diajar dalam berwudhu’. “Jangan membazir air, walaupun kamu di sungai,” pesan Nabi Muhammad. Berjimat bukan soal kekurangan bekal. Tetapi latihan membentuk sikap. Peka dengan keperluan, dan mengguna pakai seadanya, biar pun pada sekecil soal wudhu’ di tebing sungai.

KECIL-KECIL YANG BESAR

“Tolong-tolong!” jerit penduduk kampung.

Mereka gempar melihat kelibat harimau melintas desa.

Besarnya harimau, dengan taring yang mencarik tubuh, tentu sahaja terbit rasa gerun di empat penjuru kampung. Semua takut kehilangan nyawa, dek harimau yang gagah perkasa itu.

Tetapi berapa sangatlah dalam setahun, manusia mati dibaham harimau? Di sebuah negara yang masih kaya dengan hutan belantara seperti Malaysia, terhitungkah jari bilangan mangsa keganasan harimau? Ada lima puluh? Usahkan lima puluh, mahu dicari lima pun payah!

Jarang benar manusia mati dibaham harimau.

Tetapi bagaimana dengan nyamuk?

Berapa ramaikah manusia yang mati kerana menjadi mangsa gigitan nyamuk di negara kita?

Sehingga ke minggu ke-12 tahun 2010, negara mencatatkan jumlah kes demam denggi sehingga 12,157 dengan 43 kematian! Jumlah itu sangat besar. Lebih membimbangkan, kes demam denggi ini tertumpu di kawasan pembangunan bersama kepadatan penduduk yang tinggi. Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor adalah di antara negeri yang mencatatkan kes demam denggi tertinggi.

Ketika kegerunan kita masih berlegar pada haiwan sebesar dan seganas harimau, akhirnya kita tumpas dengan seekor nyamuk!

Yang kecil. Yang dilihat remeh. Tetapi tidak temeh.

Wabak demam denggi itu adalah peringatan untuk kita semua. Amaran bahawa sikap meremehkan perkara kecil, boleh menjadi besar. Apalah sangat usaha menerbalikkan bekas air yang bertakung di depan rumah, atau membersihkan pinggan melapik pasu bunga. Terlalu remeh, jika mahu dinisbahkan dengan tanggungjawab-tanggungjawab lain yang lebih besar dalam rutin seharian kita.

Namun akhirnya, sikap itulah yang mengundang musibah.

Jika generasi ibu bapa kita dahulu memberi pesan bahawa sikit-sikit lama jadi bukit, kini dengan sikap meremehkan perkara kecil itu, peribahasa berubah makna. Bukan lagi yang sikit menjadi bukit, tetapi merebakkan wabak dan penyakit.

Sukar benar untuk dunia yang besar ini diselamatkan, selagi manusia lupa kepada perkara yang kecil-kecil dalam hidupnya. Apalah sangat sekeping tisu yang dicampak dari tingkap kereta. Besar sangatkah masalah kalau sebuah mentol menyala tanpa keperluan?

Soalnya bukan saiz tisu atau mentol.

Isunya adalah SIKAP.

Hilangnya kepekaan terhadap persekitaran, meremehkan benda-benda kecil yang disangka tiada kepentingan, segalanya menjadi sumber musibah dan bencana apabila ia digandakan dengan bilangan manusia. Bukan seorang yang membuang sampah begitu, bukan seorang yang membiarkan mentol menyala seperti itu.

Sedikit-sedikit, lama-lama jadi penyakit.

SARANAN

Bercita-cita biar besar.

Tetapi bertindak, mulakan dengan yang kecil.

Tidak guna mengangankan sebuah rumah yang lengkap dengan landskap Jepun atau Bali ketika bajet tidak mengizinkan. Andaikata di poket hanya ada RM5, belilah penyapu dan sapu sampah di halaman. Jika setiap rumah menyapu halaman, nescaya bersihlah satu negara.

Terlalu jauh mengejar impian, untuk mengusahakan sebuah dunia yang aman tanpa konflik dan peperangan. Tetapi mulakanlah dengan langkah yang sebenarnya di lingkungan kemampuan kita.

“Pulanglah ke rumah, kasihilah keluargamu!” itu pesan Mother Theresa suatu ketika dahulu.

Yang besar itu impian.

Yang gah itu harapan.

Yang sederhana itu keseimbangan.

Yang kecil itu permulaan.

Peliharalah yang kecil-kecil itu.

Yang remeh, bukan temeh.

Tuesday, June 15, 2010

sangat mengganggu fikiran.. astaghfirullahal azhiiim~

Monday, June 14, 2010

Hadis Palsu Rejab, Syaaban

Agama wajib dipelihara ketulenannya supaya tidak berlaku campur aduk antara rekaan manusia dan perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika agama boleh direka cipta, maka wahyu sudah tentu tidak diperlukan, juga Rasul tidak perlu diutuskan. Oleh itu Islam mengharamkan pembohongan di atas nama agama. Artikel ini merupakan Himpunan penulisan Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin yang terdahulu dicadangkan untuk bacaan bersempena bulan Rejab.

Dalam persoalan hadis, ramai kalangan kita yang begitu tidak berdisiplin dalam memetik hadis-hadis Nabi s.a.w., begitu juga dalam menghuraikannya. Sebahagiannya langsung tidak mengambil berat persoalan kethabitan iaitu kepastian di atas ketulenan sesebuah hadis.

Apa sahaja yang dikatakan hadis terus sahaja dibacakan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama hadis terhadap kedudukannya.

Lebih malang ada yang menyangka apa sahaja yang dikatakan hadis maka pastinya sahih dan wajib diimani.

Dengan itu apa sahaja yang mereka temui daripada buku bacaan, yang dikatakan hadis maka mereka terus sandarkan kepada Nabi s.a.w. tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadis yang mutawatir: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain).

“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).

Berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu jenayah yang dianggap sangat berat di dalam Islam. Perbohongan atau berdusta menggunakan Nabi s.a.w. adalah menyandar sesuatu perkataan, atau perbuatan, atau pengakuan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, yang mana baginda tidak ada kaitan dengannya.

Ini seperti menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang baginda tidak pernah melakukannya.

Maka sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w. sama ada perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, maka ia disebut sebagai al-hadis.

Namun menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadis pada hakikatnya. Cuma ia disebut hadis berdasar apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq iaitu palsu, atau rekaan. Maka hadis palsu ialah: “Hadis yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, ia tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w.” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi ‘Ulum al-Hadis, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu‘asarah, Beirut).

Perbuatan ini adalah jenayah memalsu ciptakan agama, kerana Nabi adalah sumber pengambilan agama. Seperti seseorang yang memalsukan pasport di atas nama sesebuah kerajaan. Ia sebenarnya melakukan pembohongan dan jenayah terhadap kerajaan tersebut.

Kedudukan Nabi s.a.w. tentunya lebih besar dan agung untuk dibandingkan. Oleh itu dalam riwayat yang lain Nabi s.a.w. menyebut: “Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) dalam mengulas hadis ini: “Ia merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi s.a.w. dan semua jenis pendustaan ke atas baginda.”

Mendengar

Maksudnya: “Jangan kamu sandarkan pendustaan ke atasku (menggunakan namaku)” (rujukan: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jld 1, m.s. 270, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).

Bukan sahaja membuat hadis palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ia adalah hadis palsu juga adalah sesuatu yang haram.

Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ia hadis palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya.” (Ibn al-Salah,‘Ulum al-Hadis, m.s. 98)

Misalnya di tanah air kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan Syaaban maka hadis-hadis palsu mengenai bulan-bulan tersebut akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadis: “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku.”

Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha‘if, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah, Halab, Syria). Nama penuh Ibn Jahdam ialah Ali bin Abdillah bin Jahdam al-Zahid.

Ibn Jahdam meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada Jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut).

Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut: Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi).

Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka.

Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. Alhamdulillah. (Ibn al-Salah, ‘Ulum al-Hadis, m.s. 99)

Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi ejen menyebarkan hadis-hadis palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H): Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w.

Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu).

Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).

Sebenarnya hadis sahih mengenai kebaikan malam Nisfu Syaaban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu.

Gambar hiasan

Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban ialah: “Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).

Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. (jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh).

Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan dari ajaran Nabi s.a.w.

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.”

Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.

Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan sunah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.

Ibadat

Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.

Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan dihormati.

Namun dalam masalah ini beliau agak tegas kerana ia bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Justeru, hadis-hadis palsu mengenai Rejab dan Syaaban ini hendaklah dihentikan dari disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali kepada agama yang tulen.

Hasil dari memudah-mudahkan dalam hal seperti ini maka muncullah golongan agama yang suka mendakwa perkara yang bukan-bukan.

Dengan menggunakan nama agama segala rekaan baru dibuat untuk kepentingan diri dan kumpulan. Islam tidak pernah memberi kuasa kepada golongan agama, atau sesiapa sahaja untuk mendakwa apa yang dia suka kemudian menyandarkannya kepada agama.

Agama kita rujukannya ialah al-Quran dan al-sunah yang dipastikan kesabitannya mengikut yang diputuskan oleh para ulama hadis. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadis al-Azhar): “Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadis, sama ada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks hadis).”

Mereka hanya membaca hadis apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadis tersebut.

Apa yang mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan dengannya.

Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah. (Abu Syahbah, al-Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis, m.s. 322, cetakan: Dar al-Fikr al-‘Arabi, Kaherah).

Saya menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media elektronik dan cetak, bahkan semua pihak yang membaca sesuatu hadis memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Syaaban tahun ini tidak dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi s.a.w.

Saturday, June 12, 2010

Bunga~



blaja jahit bunga.. yeay!
sronok blaja benda baru..

actually basic dia sangat la simple..
saya percaya saya mampu jahit kasi lawa2..
so dah boley la pakai tudung cantek2.. hehe
tudung skrg sangatla kosong.. almaklum tudung mesir...
tapi berapa lamakah utk siapkan satu tudung???
hohoho..

i wish.. ada byk masa utk wat...
tp as usual.. hurmm... =)

now, its my turn nk ajar mangsa2 jahit bunga.. hek3..
tunggula ahli jilsahku sekelian utk our next tadhrib punye..

ops.. trime kasih utk cikgu kitaorg.. atie..

Wednesday, June 2, 2010

Motivasi: Cemburu dengan mereka


Sebelah kaki mereka sudah berada di dalam tamanan indah di syurga. Nyata saya cemburu dengan mereka.  ~ picture by m-a-e-e of Deviant Art

Sebelah kaki mereka sudah berada di dalam tamanan indah di syurga. Nyata saya cemburu dengan mereka. ~ picture by m-a-e-e of Deviant Art

Cemburu biasanya dikatakan sebagai perasaan yang negatif.

Tetapi saya ada membaca satu pepatah dalam sebuah website arab. Pepatah itu berbunyi: “Cemburu itu adalah cinta”

Saya tersenyum. Hakikatnya, cemburu adalah perasaan. Yang menjadikan cemburu itu negatif atau tidak adalah manusia itu sendiri. Sama ada cemburunya bertukar menjadi hasad, atau cemburunya bertukar menjadi ghibtah. Hasadadalah perasaan kita yang inginkan nikmat itu hilang pada orang yang kita cemburui. Manakala ghibtah adalah perasaan bahawa kita berhajat ingin mendapatkan yang lebih baik dari orang yang kita cemburui tanpa berharap bahawa nikmat yang ada padanya itu hilang.

Dan saya harap, cemburu yang ada pada saya sekarang adalah satu ghibtah.

Kepada siapa saya cemburu?

Kepada mereka yang sedang berada di atas lautan sekarang dalam misi Lifeline4gaza.


Membandingkan diri

Noorazman Shamsuddin, yang mengetuai Konvoi Malaysia dalam projek Lifeline4gaza bukanlah orang lain bagi saya. Saya berkenalan dengan beliau semenjak saya tingkatan tiga lagi. Seterusnya kami sering bertemu dan berjumpa sekiranya beliau singgah di MATRI Perlis.

Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus, wakil dari Aqsa Syarif yang turut berada di atas kapal Mavi Marmara juga bukan orang lain bagi saya. Dia boleh saya katakan sebagai pakcik saya. Memandangkan keluarga perempuannya berkahwin dengan abang kepada ayah saya. Anak-anaknya pula satu sekolah dengan saya ketika saya sekolah rendah.

Salah seorang ahli rombongan adalah Dr Arba’ien. Beliau juga bukan orang lain untuk saya. Beliau merupakan rakan rapat ayah saya di Johor. Anaknya merupakan junior saya di MATRI. Kami banyak kali berjumpa di Johor dan sering sahaja bersembang itu dan ini.

Saya bukan tidak kenal dengan mereka ini. Selama ini hidup saya bersebelahan sahaja dengan kehidupan mereka. Sebelum ini tidak terasa pun ada gap antara saya dan mereka walau saya ini muda berbanding mereka.

Tetapi hari ini, saya rasa diri saya sangat kerdil.

Sungguh, saya cemburu.

“Tidaklah sama antara mukmin yang duduk (yang tidak ikut berperang) yang tidak mempunyai ‘uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk satu derajat. Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (surga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang duduk dengan pahala yang besar,(yaitu) beberapa derajat dari pada-Nya, ampunan serta rahmat. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” Surah An-Nisa’ ayat 95-96.

Bukannya boleh dilakukan hanya kerana bersemangat

Menyertai konvoi Lifeline4Gaza, tidak cukup hanya dengan semangat. Hendak melaksanakan misi yang besar ini, mestilah diiringi dengan keimanan dan keyakinan yang kuat. Hubungan dengan Allah pastilah menjadi aset utama dalam menjana kekuatan.

Meninggalkan keluarga tersayang menerjah Gaza yang menjadi medan perang. Meninggalkan segala harta benda, kerjaya dan pelajaran untuk menghadapi satu masa hadapan yang peratusan besarnya adalah kematian. Gaza yang dikepung Zionis yang telah terbbukti di dalam sejarah merupakan musuh Allah SWT dan tidak pernah teragak-agak untuk melakukan apa sahaja bagi menjatuhkan Islam.

Benda ini, yang mereka lakukan ini, bukanlah benda yang boleh dilakukan dengan semangat.

Mungkin sahaja kita sekarang boleh berkata: “Ana kalau boleh, hajat juga nak ikut” Kita boleh kata kerana kita sekarang tidak mengikuti mereka. Bagaimana jika kita sekarang berada di atas kapal bersama mereka?

Saya yakin kita tidak setenang yang kita sangka.

Tetapi melihat liputan, saya melihat semangat Noorazman, atau mesra saya panggil Bro Noorazman, saya sempat melihat Dr Arba’ien sedang tersenyum tenang, dan saya dapat melihat kekuatan yang terserlah pada wajah Pakcik Hasanuddin.

Sedangkan mereka hendak ke Gaza. Mereka akan berhadapan dengan tentera Israel. Bukannya rombongan yang akan disediakan tempat tidur selesa bertilam bantalkan hotel. Bukan di tempat hijau bercuaca tenang. Tetapi tempat berwarna merah darah disertai ribut peluru.

Tetapi mereka tetap tenang berada di atas Marmara Mavi. Oh, kuatnya mereka.

Saya cemburu.

“Maka sesiapa yang menerima kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka ia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): ` Nah! bacalah kamu Kitab amalku ini!, “Sesungguhnya aku telah mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amalku (pada hari yang ditentukan)!”, maka tinggalaah dia dalam kehidupan yang senang lenang lagi memuaskan, Di dalam syurga yang tinggi (darjatnya). Buah-buahannya dekat untuk dipetik, (masing-masing dipersilakan menikmatinya dengan dikatakan): “Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu!” Surah Al-Haqqah ayat 19-24.

Mereka buat itu, kita buat apa?

Melihat mereka, saya kembali memandang diri.

Apa telah saya lakukan? Belajar. Bagaimana saya belajar? Sungguh-sungguhkah? Menulis menyebar dakwah. Sudah sampai ke ekstensi mana saya sungguh-sungguh menulis menyebar dakwah?

Apa yang sedang saya lakukan? Sejauh mana masa telah saya gunakan sebaiknya?

Ibadah, sebagus mana ibadah saya?

Bagaimana kehidupan saya? Apakah sudah di dalam Islam sepenuhnya atau masih mengambil jahiliyyah lagi?

Semua itu saya persoalkan dan akhirnya saya melihat bahawa diri saya masih jauh hendak dibandingkan mereka yang sedang terapung untuk merempuh tembok kematian Gaza itu. Itulah dia mereka yang berada di atas medan.

Apakah saya telah berusaha menjadi seperti mereka jika saya mahu kata bahawa saya juga berada di atas medan cuma tempat sahaja berbeza?

Adakah saya telah bersungguh-sungguh untuk hidup atas kebenaran? Atas Islam?

Katakanlah (wahai Muhammad): Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: Hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, samada dengan cara berdua (dengan orang lain) atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu).” Surah Saba’ ayat 46.

Penutup: Syurga bukan untuk orang yang bermain-main

Bila orang bukan keluarga kita, yang tak rapat dengan kita mati, kita rasa biasa. Tapi bila keluarga kita, atau sahabat rapat kita, lebih-lebih lagi yang sebaya, bila mereka ini mati, kita akan sangat-sangat terasa. Sebab apa? Sebab selama ini kita lihat dia macam kita lihat diri kita. Sama. Jadi bila dia mati, maka segera kita rasa mati itu sangat dekat dengan kita.

Sebelum ini, melihat video para mujahidin, saya selalu kata pada diri saya: “Itu mujahidin. Memang dia hebat.”

Tetapi hari ini, yang sedang berjihad di atas kapal Lifeline4Gaza adalah yang selama ini duduk-duduk dengan saya, yang saya sentiasa jumpa dan lihat. Mereka telah berada di atas kapal untuk merempuh tembok kematian Gaza.

Seakan-akan saya telah ditinggalkan dalam usaha untuk merebut Syurga.

Ternyata, syurga itu bukan untuk orang yang bermain-main.

Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.” Surah Al-Furqaan ayat 52.

Saya sangat terasa.

Syurga itu masih jauh rupanya dengan saya.

Maka hari ini, saya semat dalam jiwa saya untuk menjadi lebih bersungguh-sungguh dan memperbaiki lagi kehidupan saya agar mencapai tahap yang Allah benar-benar redha. Saya ingin, walaupun saya tiada di atas Kapal Marmara Mavi memberikan bantuan kepada Gaza, saya tetap merupakan manusia yang berada di atas muka bumi Allah memberikan bantuan kepada semua manusia dalam kembali kepada Allah SWT.

Berjuang bersama mereka.

Serius merebut syurga!