رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

"Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi- al A'raf ayat 23.

Wednesday, May 26, 2010

Motivasi: Hari-hari seakan kamu tiada harapan



Harapan itu sentiasa ada. Tinggal kita percaya atau tidak kepada-Nya ~ picture by basemsamir of deviant art

Harapan itu sentiasa ada. Tinggal kita percaya atau tidak kepada-Nya ~ picture by basemsamir of deviant art

Ada waktu, kita akan merasa bahawa diri kita sangat tersepit. Susah teramat sangat. Seakan hilang segala harapan. Seakan lenyap segala ruang penyelesaian.

Jauh di dalam lubuk hati kita, kita akan rasa kecewa teramat sangat. Rasa ditinggalkan. Rasa diasingkan. Keseorangan dalam masalah yang menimpa tanpa ada sesiapa yang mampu menghulurkan bantuan. Kadangkala, ia adalah masalah peribadi yang kita malu untuk kongsikan.

Akhirnya mula timbul dalam jiwa kita satu perkataan:

PUTUS ASA. Kita rasa segalanya sudah tidak berguna. Segala usaha sudah tidak bermakna. Maka kita pun bergerak mengikut arus kerosakan untuk ‘self destruct’. Jadilah apa hendak jadi. Kita sudah tidak peduli.

Tetapi kita silap.

Allah SWT itu tidak pernah meninggalkan hamba-hamba-Nya.


Hingga sampai ke benteng kesabaran

Tujuan ujian adalah untuk menguji. Sebab itu namanya adalah ujian. Jika ujian itu datang dalam keadaan mudah dilangkau, tidak dinamakan ianya ujian. Ujian semestinya menggegarkan, menggoyahkan, meragut ketenteraman dan menghilangkan kesenangan.

Dalam keadaan ini Allah ingin melihat sejauh manakah keyakinan kita kepada-Nya.

Yang Allah mahu daripada ujian adalah keimanan kita.

Saya sering mengulang ayat 2 dari Surah Al-Ankabut:

“Apakah manusia itu mengira, bahawa mereka akan dibiarkan berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka itu belum diuji?”

Sebab itu, adakah kita mengira, kita akan masuk syurga Allah dengan lenggang kangkung tanpa diuji dengan ujian yang hebat? Kadangkala seakan kita tertolak ke pinggir gaung. Hanya menunggu masa sahaja untuk jatuh walaupun telah berusaha bertahan.

Kita bertanya-tanya, kenapa kita diuji sedemikian rupa?

Ketahuilah, itu hakikatnya adalah tapisan kita ke syurga Allah SWT.

“Apakah kamu mengira, kamu akan dimasukkan ke dalam syurga, selagi belum tiba kepada kamu ujian yang telah didatangkan kepada orang-orang sebelum kamu? Mereka diuji dengan kepapaan dan serangan penyakit serta digoncangkan. Sehingga berkatalah rasul dan orang yang beriman dengannya: Bilakah pertolongan Allah(hendak sampai)?…” Surah Al-Baqarah ayat 214.

Iya. Diuji sehingga ke pinggiran gaung. Sehingga tergoncang keimanan mereka. Allah nak bantu atau tidak ini? Tetapi mereka itu memilih untuk terus percaya. Apakah jawapan Allah pada akhir ayat itu?

“…(ketahuilah) sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat” Surah Al-Baqarah ayat 214.

Kenapa kamu tidak memandang kepada Musa?

Nabi Musa AS menunjukkan kepada kita contoh tertinggi dalam pergantungan kepada Allah SWT. Dia yang diarahkan oleh Allah SWT untuk membawa seluruh Bani Israel melarikan diri dari Firaun di tengah malam, telah dihalakan oleh Allah SWT ke lautan.

Pada waktu Subuh, mereka tersedar bahawa mereka telah tersesat bila berada di hadapan laut. Di belakang mereka ketika itu Firaun dan bala tenteranya. Mereka tersepit. Melihat keadaan ini, Bani Israel hilang kepercayaan kepada Allah dan Nabi Musa. Kalangan mereka ada yang hendak menyerah diri, ada yang memaki Musa.

“Setelah kedua-dua kumpulan itu melihat sesama mereka, berkatalah orang-orang Musa: Sesungguhnya kita akan ditawan” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 61.

Ya. Berada di hadapan laut tanpa boleh merentasinya. Di belakang pula Firaun yang siap untuk menebas kepala mereka.

Tetapi apakah kata Nabi Musa ketika ini?

“Sesekali tidak, sesungguhnya aku bersama Rabbku yang memberikan petunjuk” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 62.

Sesekali tidak! Sesungguhnya aku bersama Rabbku yang memberikan petunjuk!

Inilah dia Musa AS. Telah tersepit di antara lautan dan Firaun yang mengganas. Tidak pula dia berkata: “Ya Allah, kenapala Kau buat aku macam ini? Kau suruh aku bawa kaum aku keluar, tapi Kau halakan aku ke laut. Kenapa?”

Tidak. Dia tidak berkata begitu. Dia memilih untuk terus meyakini. Apakah balasan kepercayaannya terhadap Allah itu?

“Lalu Kami(Allah) wahyukan kepada Musa: Pukullah tongkatmu itu. Setelah dipukul, maka terbelahlah laut…” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 63.

Lihat. Lihat. Lihat wahai orang-orang yang hendak berputus asa.

Apakah di hadapanmu laut dan di belakangmu Firaun?

Sentiasa masih ada harapan. Allah bersama-sama kita memberikan petunjuk. Tinggal kita sahaja tidak meyakini-Nya.

Penutup: Bergantung dengan-Nya tiada kecewa.

Ujian adalah lumrah. Baik diuji dengan bencana, atau diuji dengan dosa yang tidak mampu ditinggalkan.

Tetapi jangan berputus asa. Usaha dan usaha lagi.

Yakin kepada Allah SWT. Berputus asa samalah dengan kita tidak lagi meyakini-Nya. Sebab itu, Allah amat membenci mereka yang berputus asa. Rahmat Allah sudah sangat luas. Justeru di manakah ruang kita hendak berputus asa kepada-Nya?

Kita langsung tiada alasan untuk berputus asa hakikatnya.

Walau terdorong ke pinggir gaung, kita tetap terus yakin kepada-Nya.

Yang terdorong hingga ke pinggir gaung itu sendiri adalah satu ujian.

Maka percayalah.

“Sesekali tidak, sesungguhnya aku bersama Rabbku yang memberikan petunjuk” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 62.

1 comment:

  1. time kasih...senang hati saya selepas membaca artikel awak...sebnrnya saye sering dilanda ujian yang sama...saye x th mane silapnye...sering jga terpikir ape hikmah disebalik ujian ni...blh x klu saye nak share cite saye ni dgn awak...mane thu saye dapat cari jawapan untuk ujian yang saya hadapi ini...

    ReplyDelete

^___^